Pages - Menu

Khamis, 4 Februari 2016

Angan musim dingin di Bangkok

Cukup lima hari di Bangkok. Jejak kaki ke Kuala Lumpur, masih lagi terkenang-kenang bandar yang baru ditinggalkan. Chewah...

Suhu turun mendadak di Bangkok. Kurang 20c pada 25 jan 2016. Beberapa hari sebelum penerbangan saya ke bandar ini. Namun, suhu kembali seperti biasa. Hangatnya lebih kurang sama dengan cuaca di Kuala Lumpur.

Kurang dua minggu saya beli tiket ke Bangkok. Harga tiket masih murah, kurang RM150. Rancangan asal saya akan pulang menaiki bas atau tren hingga ke Pulau Pinang. Namun, saya menghabiskan lima hari di Bangkok dan pulang hari ini dengan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Saya tiba Jumaat lepas seorang diri kerana rakan yang lain turun di Pattaya. Sementara menunggu mereka sampai, sempat saya bertemu seorang kenalan yang tinggal di Bangkok.

Saya melalui jejantas ke Stesen Keretapi Don Mueang. Kurang bernasib baik kerana keretapi seterusnya dijadualkan bergerak jam 7.50pm. Sedangkan saya berjanji dengan beliau untuk bertemu jam 8.00pm. Sempat menghantar mesej di Airport sebelum saya menaiki bas A1 ke Mochit. Kos 30baht. Dalam masa 20minit tiba ke Mochit.

Waktu ini adalah waktu puncak warga kota pulang dari kerja. Jalan agak sesak, tetapi bas masih bergerak. Dalam 20 minit bas tiba di Mochit. Kemudian, saya menaiki MRT di Chatuchak Park ke Silom. Stesen ini terletak berhampiran stesen BTS Mochit.

Saya masuk ke Silom Complex. Tiba-tiba pengunjung berlari keluar. Berdebar-debar jika ada musibah yang berlaku. Namun, keadaan kembali reda. Selepas berjaya mendapat akses wifi percuma, saya terus menghubungi rakan. Dan beliau baru sahaja tiba.

Seterusnya kami berbual panjang sambil menikmati roti nan di sebuah restoran India Muslim dalam Silom Complex. Sampai pembantu kedai sudah mengelap meja dan mengemas. Seronok bercerita tentang penulisan. Tapi terpaksa berpisah.

Walaupun hanya mesej ringkas sebagai awal perkenalan, tak menghalang kami bertemu buat pertama kali.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan